joomla 1.6

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Jika tidak mahu dilabel sebagai masyarakat yang selekeh dan pengotor, rakyat Malaysia perlu memberi tumpuan kepada aspek kebersihan tandas terutama tandas awam kerana ia melambangkan peribadi rakyat sesebuah negara.

Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr. James Dawos Mamit berkata, aspek berkenaan amat diberi tumpuan di negara-negara maju sehingga Hari Tandas Sedunia disambut pada 19 November setiap tahun bagi mewujudkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga kebersihan tandas. Bagaimanapun jelasnya, di Malaysia kebanyakan tandas awam tidak dijaga dan diselenggara dengan baik malah ada yang menggunakannya dengan cara yang salah sehingga menjadikannya sebagai tempat yang menjijikkan. ''Negara yang tidak mempunyai kemudahan tandas awam yang sempurna dianggap sebagai destinasi pelancongan yang kurang menarik, malah pelabur-pelabur antarabangsa juga melihat kemudahan itu sebagai salah satu infrastruktur asas sebelum membuat pelaburan. ''Untuk itu, usaha meningkatkan kesedaran mengenai perkara ini perlu diteruskan untuk menjadikan tahap kebersihan tandas di negara ini setanding dengan negara-negara maju dan seterusnya meningkatkan imej Malaysia di mata dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Janitor Bersama Persatuan Bilik Air Berkualiti Malaysia (QRAM) anjuran Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Kesuma dekat sini hari ini. James yang juga Pengerusi QRAM memberitahu, isu tandas bukan sahaja perlu dilihat dari sudut kebersihan, malah rasa tanggungjawab orang ramai dalam aspek penggunaan tandas. ''Dalam memberi kesedaran kepada masyarakat supaya memelihara kebersihan tandas ia perlu bermula dari peringkat awal khususnya di peringkat sekolah rendah dan kempen-kempen seperti ini perlu dicontohi oleh semua pihak," katanya. Beliau menambah, etika dan gaya hidup rakyat negara maju seperti Jepun perlu dicontohi dalam menjaga kebersihan tandas. ''Walaupun tandas awam di negara kita dibina dengan kemudahan dan teknologi terkini, namun kesedaran pengguna masih rendah,'' jelasnya. Justeru, beliau menyeru rakyat supaya bersama-sama menjaga kebersihan tandas agar tidak menjejaskan imej negara di kalangan pelancong asing.

Share

© Copyright of Quality Restroom Association of Malaysia (1859-05-5) QRAM 2013