joomla 1.6

JOHOR BAHRU 9 Dis. - Hanya 191 daripada 695 tandas di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) yang dikelaskan sebagai tandas gred A. Sebanyak 392 tandas dikategorikan sebagai gred B, 106 tandas gred C dan enam tandas stesen minyak dikelaskan sebagai gred D. Ketua Whip MPJBT, Mohamad Dolmat berkata, MPJBT menerusi Bahagian Kebersihan, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Pelesenan telah menjalankan audit kebersihan tandas awam milik MBJBT dan persendirian di kawasan pentadbirannya. Beliau berkata, audit yang dibuat pada 2009 itu melibatkan stesen minyak, restoran, hotel dan lain-lain. "Hasil daripada audit yang dijalankan, MPJBT mengkategorikan tandas awam kepada lima kategori iaitu, tandas awam berasingan (MPJBT), tandas awam (swasta), tandas kedai makan/restoran, tandas hotel dan tandas stesen minyak. "Pihak MPJBT akan menampalkan pelekat mengikut gred di setiap tandas yang telah diaudit," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Tandas Bersih peringkat MPJBT di Dewan Serbaguna Skudai di sini hari ini.

Program yang bertemakan 'Budaya Tandas Bersih Amalan 1Malaysia' diadakan sempena sambutan Hari Tandas Sedunia yang julung kali diadakan di sini. Mohamad berkata, sekiranya hasil pemeriksaan mendapati kebersihan tandas tidak memuaskan, notis untuk membersihkan tandas akan diberikan kepada pemilik premis dan ia perlu dibersihkan secara serta-merta.

Beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menganjurkan Pertandingan Tandas Bersih peringkat kebangsaan setiap tahun dan pemilik premis yang berminat boleh menghantarkan penyertaan mereka kepada MPJBT. Beliau berharap dengan adanya usaha berterusan oleh semua pihak, ia dapat menerapkan kesedaran dalam kalangan masyarakat betapa pentingnya menjaga kebersihan tandas awam. "Dengan wujudnya kesedaran ini, masyarakat akan dapat menukar persepsi mereka terhadap kebersihan tandas awam. "Diharap program ini boleh membantu satu budaya baru iaitu budaya tandas bersih dan seterusnya melahirkan masyarakat yang sihat dan bersih," katanya.

Utusan Online: Dec 9, 2010
Oleh KHADIJAH IBRAHIM
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

Share

© Copyright of Quality Restroom Association of Malaysia (1859-05-5) QRAM 2013