joomla 1.6

Tandas awam kotor, pam tandas dicabut. Semua ini menjadikan pengguna berasa tidak selesa walaupun dikenakan bayaran sebanyak 50 sen, di kawasan peranginan Dataran Kemang, Port Dickson.

TELUK KEMANG 15 Dis. - Isu tandas awam kotor barangkali bukan perkara baru sebaliknya isu lama yang sering dimainkan ekoran tiada perubahan ditampilkan untuk keselesaan orang awam. Memetik kata-kata Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr. James Dawos Mamit, kebersihan tandas awam mencerminkan peribadi penduduk di negara tersebut terutama di mata pelancong luar, jadi aspek ini harus segera dipertingkatkan. Namun, tinjauan Utusan Malaysiake kawasan peranginan di Dataran Kemang di sini mendapati, tandas awam berkenaan kelihatan seolah-olah tidak diselenggara dengan baik walaupun bayaran dikenakan sebanyak 50 sen dan RM1 untuk mandi.

Kotor, berbau dan tidak selesa, itu pasti reaksi pertama bagi pengunjung ketika menggunakan tandas tersebut. Walhal kawasan tersebut juga merupakan tumpuan orang ramai termasuk pelancong luar dan bayangkan apa reaksi mereka jika keadaan ini dipertontonkan. Bilik mandi yang disediakan juga tidak mempunyai ciri-ciri keselesaan. Perkara tersebut dilihat mengundang rasa kurang selesa kepada pengunjung terutama pada hujung minggu apabila kawasan tersebut menjadi tumpuan ramai.

Bersesuaian dengan kempen tandas awam bersih yang dilaksanakan di seluruh negara, rata-rata pengunjung di situ mengharapkan tandas awam berkenaan diselenggara dengan baik agar mampu memberikan keselesaan kepada pengunjung terutamanya dari luar negara. Salah seorang pengunjung, Yati Abdullah, 44, berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) seharusnya melakukan sesuatu untuk menambah baik tandas awam bagi keselesaan semua pengunjung. "Ini merupakan langkah memberikan gambaran terbaik kepada pelancong terutama dari luar negara. "Sekurang-kurangnya mereka mendapat keselesaan yang sewajarnya serta sentiasa berminat untuk berkunjung ke sini," ujarnya ketika ditemui di sini hari ini. Jelasnya, tandas awam tersebut perlu diurus dan diselenggara dengan baik apatah lagi apabila orang ramai turut dikenakan bayaran untuk menggunakannya. Pelancong dari Singapura, Salethy, 40, mengakui, tandas awam di pusat pelancongan di sini kurang memuaskan berbanding tempat yang pernah dilawatinya. "Tetapi saya tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa menggunakannya walaupun berasa tidak selesa," ujarnya.
Menurut pengunjung dari Sarawak, Aishah Mat, 41, keadaan tandas tersebut yang kotor dan berbau mengejutkannya apatah lagi ia terletak di kawasan pelancongan.

"Seharusnya perlu dibaik pulih agar lebih baik, selamat dan selesa," ujarnya. Jelasnya, jika keadaannya bersih barulah ia berbaloi dengan harga yang dikenakan. "Tandas awam di kawasan rehat dan rawat pun tidak dikenakan bayaran tetapi mampu memberikan keselesaan kepada pengguna. Kenapa tidak di pusat pelancongan seperti ini dinaikkan taraf untuk keselesaan pengunjung," ujarnya.

Oleh NORAZLIZA ISMAIL
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

Share

© Copyright of Quality Restroom Association of Malaysia (1859-05-5) QRAM 2013